Thursday, September 8, 2011

KEMBALI

DAH lama meninggalkan alam blogging ini.

Kali terakhir menulis bulan November 2011. Kali ini tangan sudah mula gatal mahu mengetuk papan kekunci laptop. Idea memang banyak mencurah cuma masa sebelum ini tidak mengizinkan.

InsyaAllah mulai sekarang, akan dicuri masa untuk kembali. Mesti mendisiplinkan diri untuk meluangkan masa menulis semula.

Apa-apa pun aku kembali . . . .

Wednesday, August 18, 2010

MCA DAN ORANG MELAYU

APABILA presiden MCA Chua Soi Lek berkata yang parti itu tidak akan takut untuk memperjuangkan hak orang-orang Cina serta tidak gentar untuk menyuarakan apa yang dilaungkan oleh DAP, tidak ramai orang Melayu yang tahu apa maksud kenyataannya itu.

Setakat ini hanya Muhyidin Yassin dan Hishamuddin Hussein yang berani keluarkan kenyataan. Soi Lek pula membalas kenyataan dua pemimpin Melayu ini dengan memberi amaran supaya tidak menakut-nakutkan bukan Melayu dengan cakap-cakap mengenai 13 Mei.

Katanya, keadaan sosio-ekonomi masa kini berbeza dengan tahun 1969, dan tidak akan mengizinkan perbalahan kaum.

Beliau lupa, beliau sendiri membangkitkan soal perkauman. Jika MCA tegak atas kecinaannya, UMNO juga mampu untuk menegakkan keMelayuannya. Pepatah Melayu, "biar putih tulang jangan putih mata" menggambarkan rasa hati orang Melayu.

Pada bangsa Melayu, sejak PRU 2004, hak Melayu terhakis satu persatu atas nama liberalisasi. Apatah lagi PRU 2008, menyaksikan terhakisnya kuasa Melayu mutlak, apabila parti Melayu mula menggugurkan kepentingan Melayu dalam asas perjuangan bagi memancing undi bukan Melayu.

Ada juga pemimpin Melayu yang atas nama merebut kuasa sanggup menjual hak Melayu bagi ditukarganti dengan undi dan sokongan.

Jika Soi Lek menyangka hanya MCA sahaja berani ke hadapan dan bersuara mementingkan "periuk nasi" mereka, dia amat salah. Pasti ada parti dan pemimpin Melayu yang punya keberanian ke hadapan untuk bersuara yang sama.

Jika ini berlaku apa kesudahannya? Ingat MCA perlu undi Melayu, seperti UMNO perlu undi bukan Melayu, untuk menang.

Jika sesama BN bermain isu perkauman, akhirnya BN terkubur dan yang pasti mati ialah orang Melayu. Sudah sampai masanya orang Melayu berfikir sedalam-dalamnya mengenai "penyatuan bangsa".

Tuesday, August 17, 2010

SEPINTAS UMRAH

DUA, tiga hari sebelum berangkat untuk menunaikan umrah, aku terbaca posting Zaharin a.k.a Sang Kelembai dalam facebooknya yang berbunyi lebih kurang orang Malaysia ke umrah setahun empat lima kali macam orang Hindu mandi di sungai Ganges bagi membasuh dosa. Sekali baca gelihati, dua kali baca terlekat di jiwa.

Memang agaknya ada orang yang menyamakan umrah sebagai laluan pintas untuk membersihkan dosa. Buat dosa, kemudian tunaikan umrah. Rasullulah bersabda: "Satu umrah ke satu umrah yang lain merupakan penghapus dosa antara keduanya, haji yang mabrur tidak ada balasannya kecuali jannah" (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasa'I, Ibnu Majah dan Asbihani).

Sekurang-kurangnya elok juga menunaikan Umrah bagi menghapuskan dosa. Pada hari ini ada yang ambil jalan yang lebih singkat untuk menjadi ahli syurga. Kerjanya senang, tak payah nak bertawaf, bersaa'ie dan tahalul. Tak payah berjalan jauh-jauh, naik kapal terbang sampai lapan jam.

Jalan mudah daftar jadi ahli atau sokong jer parti putih/hijau. Asalkan jadi ahli parti atau menyokong parti, tikamlah nombor ekor, berkhalwatlah, meliwatlah, semuanya di"izin"kan.

Itu sebabnya mereka beriya-iya mengkufurkan UMNO supaya UMNO jadi alat untuk ditentang. Dan hanya dengan menentang UMNO mereka boleh berjihad. Mereka gambarkan UMNO sebagai parti kufur dan pemimpinnya sama seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Bila sudah ada persepsi sebegini, mudahlah mereka masuk syurga.

Tak perlu bersolat ataupun berpuasa. Kutuk UMNO dan pemimpinnya sama macam berzikir. Dengar ceramah menghina UMNO dan pemimpinya sama macam mendengar bacaan alQuran. Mudah sekali jalan pintas ke syurga.

Kemudian dalam sessi ceramah letak duit dalam kopiah yang dihulurkan untuk membayar penceramah, dapat pahala sedekah dan zakat. Bagi duit pada pemimpin -- walaupun pemberi kais pagi makan pagi dan pemimpin berkenderaan mewah dan punya rumah bernilai jutaan ringgit -- sama macam bagi sedekah pada wali. Wow!

Taktik dan strategi ini bukan baru. Ia diamalkan oleh pemimpin gereja dan kerajaan Kristian Eropah bagi menawan Baitulmaqdis dan Konstatinapol di abad ke 11 hingga ke 13.

Pada tahun 1063 Paus Alexander II memberi pengampunan kepada mereka yang sanggup berperang menentang tentera Islam yang digambarkan sebagai pengganas dan penceroboh.

Walaupun ketika memerintah Baitulmaqdis, tentera Islam tidak mencampuri urusan ziarah orang-orang Kristian ke Kota Suci itu, tetapi mereka digambarkan sebagai zalim dan buas.

Sama seperti yang digambarkan oleh orang-orang parti hijau/putih kepada orang-orang serta pemimpin UMNO. Hari ini UMNO digambarkan sebagai tidak Islamik dan sekular serta dipenuhi oleh orang-orang korup dan zalim. Taktik ini bagi menarik masyarakat menyertai "perjuangan" mereka.

Sesiapa saja yang menyokong mereka tak kira apa pun perangai dan kesalahan yang dilakukan di"mulia"kan. Hinggakan yang bukan Islam dan sudah menyatakan secara terbuka tidak akan menerima Islam dipandang sebagai sahabat dan rakan seperjuangan. Walaupun golongan ini adalah musuh Islam. Mereka menerima karektor Abdullah bin Ubai dalam perjuangan mereka.

Inilah jalan mudah ke syurga. Tak payah susah payah. Lagi singkat dan mudah. Cuma fikir-fikirkanlah, jangan nanti menang sorak, tanahair tergadai. Lebih teruk dari Pak Kadok dan Lebai Malang. Walahhualambissawab dan selamat menjalani ibadah puasa.

Saturday, July 24, 2010

MENGAPA TAKUT SANGAT?

AKU dah lama tak menulis. Mula sebab tak sihat demam, kemudian program turun padang dan akhirnya tugasan yang memuncak akhir-akhir ini. Mungkin isu pun tak berapa banyak nak aku komen.

Cuma dua tiga hari ini heboh soal mufti Tan Sri Harussani. Bila Tan Sri mufti sebut ada pemimpin PAS dan UMNO jumpa dia, meroyanlah orang-orang PKR dan golongan Anwarinas dalam PAS. Soalnya kenapa takut sangat kalau orang jumpa Tan Sri Mufti?

Apakah ada larangan dari PAS yang menghalang mereka bertemu dengan Mufti?

Takut sangat mereka apabila ada pemimpin PAS yang jumpa dengan Mufti. Sampai buat sidang akhbar. Apakah kerana pengaruh dan ilmu Tan Sri yang tinggi mereka takut kalau-kalau pemimpin mereka berjumpa dengan mufti.

Atau mereka takut dengan kebenaran yang datang dari lidah Tan Sri Mufti ini?

Sejak zaman aku jadi wartawan di Perak, Mufti memang terkenal dengan ketelusan dan keberaniannya. Bila dulu dia menegur UMNO dulu, puak-puak jumud dala PAS ini sanjung dia sampai ke langit. Tapi sekarang nak jumpa dia pun takut.

Yang iyernye mereka ini sebenarnya takut dengan kebenaran.

Monday, June 28, 2010

AZMIN MENTERI BESAR SELANGOR YANG BARU?

ANGIN bertiup kencang. Orang kanan Anwar Ibrahim, Azmin Ali dikatakan hanya selangkah lagi menduduki kerusi Menteri Besar Selangor. Kawan-kawan dalam media dah siap sedia, analisis berita pun dengarnya dah dibuat.

Anak kelahiran Singapura ini, memang punya cita-cita besar. Bermula dari pegawai khas kepada Anwar di Kementerian Pelajaran (Pendidikan ketika itu), adalah antara pengasas PKR. Permasalahannya dengan Khalid Ibrahim adalah rahsia terbuka. Seperti biasa Anwar buat-buat tak nampak, kerana Azmin mempunyai kekebalan dengan Anwar.

Tanyalah bekas pegawai mantan timbalan Perdana Menteri itu atau pemimpin PKR, Azmin punya kuasa sakti dengan Anwar. Apa kata Azmin itulah kata Anwar. Keupayaan Khalid untuk bertahan jadi Menteri Besar Selangor selama ini adalah suatu keajaiban kerana kerusi itu adalah idaman Azmin.


Apabila dia meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PKNS, kilang-kilang khabar angin mula bertiup kencang mengatakan Anwar akan "menggerakkan" satu strategi untuk "menaikkan" Azmin.

Perlantikannya sebagai pengerusi PKR Selangor mendekatkan lagi cita-cita Azmin. Tahniah Azmin Ali!

Saturday, June 26, 2010

NIZAR BOHONG . . . LAGI!

Siakap, senohong, gelama, ikan duri
Cakap bohong, lama-lama mencuri.

DALAM akhbar Sinar Harian hari ini, bekas Menteri Besar Perak, secara terbuka memfitnah dan berbohong. Tanpa segan dan rasa malu, beliau membuat tuduhan palsu. Dengan megah dia berkata antara kegagalan Dr Zambry Abd Kadir adalah gagal mengadakan sidang DUN yang panjang.

Memang diakui, sejak BN memerintah sidang DUN Perak hanya sehari atau dua. Tetapi apa puncanya? Nizar mungkin sangka rakyat lupa, yang berdiri di atas meja, menghentak-hentak buku seperti berok adalah Adun-adun pakatan pembangkang. Malah mereka bertindak kurang hajar di depan DYMM Raja Muda Perak sewaktu perasmian dewan.

Sudah dua kali acara beradat pembukaan DUN diadakan dan tidak pernah sekali pun adun pakatan hadir sewaktu kawad hormat. Ini tandanya mereka "derhaka" pada Raja. Jangan salahkan Dr Zambry atau kerajaan BN.

Cerminkan diri sendiri yang berlagak macam gengster dalam filem Hong Kong. Sudah-sudahlah jadi anjing belaan DAP, yang menyalak bila disuruh menyalak. Dalam sejarah Melayu ramai petualang Melayu yang bersikap macam Nizar.

Zaman Inggeris ada Melayu yang lebih Inggeris dari Inggeris. Zaman Jepun, ada Melayu yang perangainya lebih Jepun dari Jepun, dan sekarang ni si Nizar ni, lebih DAP dari DAP.

Malah dah dengar pun orang-orang PAS yang mengatakan Nizar lebih baik masuk DAP kerana beliau lebih rapat dengan Ngeh dan Nga berbanding dengan pemimpin dan ahli PAS sendiri. Dia pun jarang turun ceramah PAS hanya turun ke ceramah DAP untuk memenangi hati bukan Melayu sebab dia tahu Nizar sudah ditolak oleh orang Melayu!

Sangkaan beliau bahawa rakyat gelisah, hanya khayalan beliau sahaja. Kalau tak percaya mari turun padang dengan Dr Zambry, lihat berkerumun rakyat mengelilinginya. Lihat program qiamulail dan forum Perdana. Lihat dengan mata dan kepala sendiri berapa ramai yang datang.

Jangan jadi patung ventriqualist, yang hanya menggerakkan bibir tapi disuarakan oleh Ngeh dan Nga.

Nizar sendiri bukan lagi ikon PAS atau orang Melayu. Dia dah jadi ikon bukan Melayu, jadi kebanggaan bagaimana orang Melayu sanggup buat dan jual apa saja janji dapat wang dan kuasa. Moga Tuhan bukakan hati dan matanya untuk terima kenyataan!

Friday, June 18, 2010

MASIHKAH KAU INGAT?

TADI ketua pembangkang al-supremo Anwar Ibrahim marah pemberita RTM kerana menanya soalan bertalu-talu supaya Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengemukakan bukti kononnya wakil rakyat PKR ditawar RM2 juta untuk keluar parti. Tiba-tiba pejuang "kebebasan" ini menjadi berang dan menuduh media berat sebelah.

Agaknya bekas timbalan perdana menteri ini lupa tatkala zaman dia berkuasa semua media yang dikuasai konco-konconya bukan sahaja memberikan laporan berat sebelah pada kerajaan ketika itu tetapi juga "menggelapkan" berita pesaing-pesaingnya dalam UMNO.

Di era beliau jadi TPM, cerita dia muka satu, manakala berita PM, Mahathir Mohamad ketika itu jatuh ke muka belakang. Para pesaingnya pula digelapkan. Tak percaya tanya Sanusi Junid, Abdullah Badawi dan lain-lain.

Sekarang dia pulak yang meraung-raung kerana tak dapat soalan pemberita.

Yang tambah herannya aku tak tengok pun tokoh-tokoh pejuang kebebasan media ini ke depan mempertahankan pemberita RTM yang di "shutup"kan oleh Anwar. Kalau pemimpin BN yang buat macam itu memekik-melolonglah puak-puak jumud ni.

Dia lupa agaknya dia dah banyak membohongi rakyat. Geraka 16 September misalnya mengaitkan sokongan DYMM Yang DiPertuan Agong, ATM dan lain-lainnya yang kononnya dah siap nak menyokong beliau.

Sekarang dia tipu lagi kononnya ada bukti wakil rakyat PKR disogok wang RM2 juta untuk keluar parti. Jangan salahkan orang lain, saper yang mulakan ombok-ombokan keluar parti ini?

Bukankah Anwar Ibrahim yang dilaung dan digelar "pemimpin agung" negara yang memulakan cerita lompat-melompat? Sebelum Keshwinder Singh keluar DAP, siapa yang memanggil media mendakwa tiga wakil rakyat UMNO nak melompat?

Kalau aku jadi pemimpin DAP, aku akan salahkan PKR, kerana parti ini diasaskan oleh pelompat-pelompat.

Anwar, Wan Azizah, Azmin Ali, Saifudin Nasution (PAS-UMNO-PAS-PKR), Mustafa Kamil Ayob dan beberapa lagi adalah pelompat dari UMNO, manakala Chua Jui Meng melompat dari MCA semua kerana tak dapat jawatan dalam parti atau kecewa tak dapat jawatan.

Selepas pilihanraya umum 2008, dan Pakatan gagal merebut kerajaan, Anwar keluar dengan teori 16 Sept untuk mereka bentuk kerajaan dengan "lompatan". Jadi lompat dan keluar parti diasaskan oleh Anwar sendiri.

Jangan salahkan orang lain dengan menipu dan memfitnah. Bak kata Michael Jackson start with the man in the mirror, atau kata orang kampung kau lihatlah muka di cermin dulu.

Jangan nak "shut up" kan orang! Kudos kepada pemberita RTM yang berani bertekak dengan supremo-uno ini!